PAPAN 9

PAPAN 9
Original Artwork by Papa, Azhan and Nine (click image to link)
‘In the Name of God, Most Gracious, Most Merciful. By Time, indeed humanity is in a state of loss. Except those who believe and do righteous deeds, and (join together) in the mutual teaching of truth and in the mutual teaching of patience’ (Surah al-`Asr, 103:1-3)
"Professional Architect lives almost by faith. When called upon he can do the job without fear or favour. He possesses aspecialized skill and lives by a code of ethics cloaked in honour andintegrity. He is expected to speak his mind and give his views. Whenfaced with absolute wrong, he can resolutely disagree and walk away." quote from THE PROFESSIONAL MAN by Ar Dr Tan Loke Mun PRESIDENT PAM

Thursday, 4 December 2008

THE ASCENT OF MONEY


The Ascent of Money adalah antara siri TV yang aku dok layan sekarang nie. Bukan cerita fiksyen tapi dokumentari sejarah institusi kewangan.

“In this six-part series, historian Niall Ferguson tells the story of money and the rise of global finance. Bringing context and understanding to the current economic crisis, he reveals how the history of finance has been punctuated by gut-wrenching crashes. Each episode shows how a big bang in the ascent of money has changed the course of history.”

Walaupun ia hanyalah sebuah dokumentari, namun cara olahan dan penyampaian yang jelas serta padat menjadikan dokumentari ini berbaloi untuk ditontoni. Ia memberikan penerangan tentang sejarah kewujudan bebeberapa instrumen kewangan (duit kertas, emas, bond, saham, insurance, dll). Menceritakan tentang kejayaan dan kegagalan instrumen tersebut di masa lampau. Kemudian beliau membuat perbandingan dan analisa dengan senario instrumen tersebut di dalam ekonomi semasa.

Secara kebetulan kebanyakan kegawatan ekonomi kini merupakan kegagalan yang sama dihadapi berulangkali tetapi didalam versi yang berbeza. Ternyata kita gagal mengambil pengajaran dari sejarah bagi “menyediakan payung sebelum hujan”.

Sepanjang siri ini ia telah membuka ruang minda yang lebih jelas tentang apa sebenarnya wang. Nilai dan persepsi terhadap semua instrumen kewangan ini berubah sama sekali. “Money is about trust” hinggakan emas pun sebenarnya bukanlah instrumen yang selamat seperti yang diwar-warkan jika hilang kepercayaan terhadap nilai sebenarnya. Begitu juga dengan membeli saham ketika harga murah juga tidak memastikan pulangan yang besar.

Aku dah mula faham serba sedikit agenda disebalik instrumen kewangan ini. Dan bagaimana dengan mempelajari sejarah dapat membantu kita dari membuat kesilapan yang sama di masa depan. Selepas menonton siri ini, tidaklah pulak membuatkan aku pakar macam mereka yang benar-benar mendalami ilmu kewangan. Tetapi cukuplah sekadar menambah panduan dalam pengurusan kewangan diri sendiri.

Antara panduan kewangan diri yang aku dapat simpulkan setakat ini adalah (banyak lagi sebenarnya):

1. Mempelbagaikan portfolio kewangan bagi menangani pelbagai kemungkinan.

2. Pada masa sama perlu mengimbangi simpanan/pelaburan di dalam pelbagai portfolio.

3. Elakkan terlalu fokuskan hanya satu jenis portfolio kewangan sahaja seperti membeli terlalu banyak rumah atau terlalu banyak simpanan di dalam sesebuah bank.

4. Sentiasa berhati-hati dan tidak hanya mengikut nafsu dan trend semasa dalam membuat keputusan.

5. Semua instrumen kewangan ini bersangkut-paut secara tidak langsung. Kesan terhadap satu instrumen mungkin membawa kesan kepada yang lain.

6. Mempercepatkan pembayaran hutang (loan rumah, kereta, pendidikan dll) atau elak dari berhutang.

7. Menyediakan simpanan tunai yang mencukupi.

8. Mendapatkan maklumat yang betul dan sahih tentang struktur perniagaan/saham sebelum membuat pelaburan.

9. Sentiasa mengemaskini perbelanjaan semasa bagi mengimbangi inflasi dan keperluan semasa.

10. Janganlah kita menjadi orang yang tamak kerana pastinya bukan sahaja “orang tamak selalu rugi” malah merugikan orang lain.

11. Lebih utama dari itu adalah penting bagi kita berjimat-cermat dalam berbelanja mengikut kemampuan diri tanpa mengorbankan keperluan asas.

Mungkin ilmu ini tidak dianggap penting bagi kebanyakan orang. Hanyalah masalah orang yang kaya dan banyak duit saja. Tapi kebijaksanaan menguruskan kewangan peribadi (biarpun sedikit) merupakan perkara asas dalam menguruskan kewangan yang lebih rumit dan besar. Setidaknya ia dapat digunakan dalam menguruskan kewangan rumahtangga.

Jika jumlah yang kecil kita gagal menguruskannya apatah lagi dengan nilai yang lebih besar dari itu.

Masih teringang-ingang cerita dari seorang kawan; “Ada sebuah keluarga datang ke UK untuk belajar. Tetapi kerana terlalu mahukan kereta mewah untuk dibawa balik ke Malaysia, beliau sanggup mencatu makanan keluarga dengan hanya makan telur (hanya kekadang makan ayam) serta menambah air kosong di dalam susu cair anak-anak”

Alangkah bagus jika pengorbanan berjimat–cermat tersebut digunakan untuk simpanan pendidikan anak-anak di masa depan.

Sesungguhnya wang sukar dicari, menghabiskannya mudah sekali.

Nota: dialu-alukan kawan-kawan yang pakar dalam kewangan untuk memberikan panduan dan pandangan dalam pengurusan kewangan.

1 comment:

Alfian said...

memandangkan ko cakap pasal duit, ni ada sikit cerita lama untuk kita semua ambil iktibar.

===

'Janji' Pak Man Telo

Osman Hamzah berjaya tarik lebih 50,000 pelabur menyertai pelaburan cecah sehingga RM99 juta



LAMA sebelum wujudnya skim cepat kaya berasaskan internet yang kini diharamkan Majlis Fatwa Kebangsaan, wujud satu skim cepat kaya yang lebih 'dahsyat' serta menggemparkan negara pada awal 1990.

Kesan skim cepat kaya berkenaan menyebabkan ia terus diingati sehingga kini dan mungkin akan dikenang sebagai antara pelopor kewujudan skim cepat kaya dalam sejarah Malaysia.

"Sebenarnya, pelaburan menerusi internet (adalah) satu bentuk skim cepat kaya, tetapi guna internet, tidak seperti Pak Man Telo yang bergiat aktif pada 1980-an menggunakan cara biasa," demikian ulas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengenai kegiatan itu, 14 April lalu.

Pada Minggu Saham Amanah Malaysia 2007 di Kuantan, 20 April lalu pula, beliau turut mengulangi nada serupa: "Skim pelaburan internet ini bahaya dan kesannya mendedahkan pelabur kepada penipuan kerana ia tidak banyak berbeza dengan skim cepat kaya Pak Man Telo dan sebagainya," katanya.

Jelas sekali, seperti juga kebanyakan penduduk lain, Timbalan Perdana Menteri juga masih mengingati skim cepat kaya 'Pak Man Telo' yang pernah mencetuskan kekecohan di negara ini, kira-kira 17 tahun lalu.

Skim Pak Man Telo yang diasaskan Osman Hamzah menerusi syarikatnya, Pestama Enterprise, dipercayai dimulakan sekitar 1970-an di Taiping, Perak.

Apa yang menjadikan Skim Pak Man Telo sebagai 'lagenda' dalam sejarah skim cepat kaya atau pelaburan piramid di negara ini adalah ia disertai lebih 50,000 pelabur dengan nilai pelaburan mencecah sehingga RM99 juta.

Osman yang lebih dikenali ramai dengan gelaran 'Pak Man Telo' pada asalnya hanyalah seorang penduduk biasa yang bekerja sebagai wartawan sambilan Bernama di Taiping.

Tanpa sebarang latar belakang pendidikan mengenai pengurusan wang, dia memberanikan diri menceburi bidang berkenaan dengan mengasaskan skim pelaburan yang kompleks serta bernilai jutaan ringgit.

Pak Man Telo pernah memberitahu, yang dia mempunyai satu pasukan besar menjual barangan pengguna iaitu tembikar Cina selain terbabit dalam urusan hartanah, tetapi tidak tahu langsung mengenai pasaran kewangan mahupun komoditi.

Selain itu, lelaki terbabit turut mendakwa yang syarikatnya terbabit dalam perniagaan pengeluaran makanan, barang plastik dan elektrik, komputer, kasut, perhotelan, hartanah dan pemilikan saham beberapa syarikat utama.

Ketika zaman kemuncak skim berkenaan, Pak Man Telo menjanjikan pulangan dividen yang lumayan iaitu sehingga 12 peratus setiap bulan menyebabkan ramai pelabur mula menyertai skim berkenaan dengan harapan ingin mengaut keuntungan segera.

Maka tersebarlah cerita itu sehingga ke negeri lain dan semakin ramailah penduduk - dari pegawai kanan kerajaan, pesara, ahli perniagaan sehinggalah penduduk kampung di pedalaman - menyertainya.

Bagaimanapun, mereka mungkin tidak menyedari yang kegiatan Pak Man Telo bertentangan dengan undang-undang negara.

Lalu selepas lama memantau kegiatan lelaki itu, Bank Negara menahan Pak Man Telo dan pada 11 Januari 1990, dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan mengambil wang orang ramai tanpa lesen sah mengikut Seksyen 6 (4) Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu antara 1 Oktober dan 23 November 1989 dan serbuan pihak berkuasa turut merampas RM1.7 juta daripada lelaki terbabit.

Pada Mac 1990, Pak Man Telo mengaku bersalah atas kesalahan itu dan Mahkamah Tengah Taiping menjatuhkan hukuman denda RM250,000 atau satu tahun penjara kepadanya. Beliau membayar denda itu secara tunai.

Tiga bulan kemudian, sekali lagi syarikatnya diserbu Bank Negara atas kesalahan sama.

Bermula dari kejadian itu jugalah, kalangan pelabur Skim Pak Man Telo mula resah apabila mendapati kadar bayaran dividen skim berkenaan terpaksa diturunkan daripada 12 peratus kepada hanya lima peratus.

Lebih membimbangkan mereka apabila kedengaran ada pelabur yang tidak lagi memperoleh bayaran dividen.

Pak Man Telo tampil menjelaskan kedudukan sebenarnya pada September 1990. Katanya, tindakan mengurangkan kadar dividen itu terpaksa dilakukan berikutan masalah 'krisis Teluk' yang dihadapi dunia ketika itu.

Faktor lain disebabkan penyelewengan ejen syarikatnya di mana ejen terbabit membuat kutipan dan membayar dividen kepada pelabur secara sendiri, tanpa merujuk kepada pengurusan syarikat.

Tindakan Bank Negara menyerbu syarikat itu serta merampas dokumen penting termasuk rekod keahlian juga dijadikan alasan kepada penurunan kadar dividen berkenaan.

Merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan skim pelaburan berkenaan, ramai ahli mula berkumpul di halaman rumah lelaki terbabit hampir setiap hari dan mendesak supaya wang pelaburan pokok mereka dipulangkan segera.

Kekecohan yang semakin tidak terkawal itu menyebabkan Pak Man Telo menghentikan sementara kegiatannya dan berjanji akan kembali memulakan operasi secara 'halal' pada 2 Januari 1991.

Melihat pelabur masih mengunjungi rumahnya setiap hari, Pak Man Telo memberi 'ceramah' yang antara lain berbunyi: "Kita akan jalankan operasi seperti dilakukan Bank Islam; kita tidak boleh melabur RM1,000 dan mengharapkan pulangan berlipat ganda kerana itu membabitkan unsur riba; riba itu diharamkan Islam."

Bagaimanapun, pada tarikh dijanjikan iaitu Januari 1991, pelabur mula memenuhi perkarangan rumah Pak Man Telo untuk menuntut janji. Akan tetapi seperti sebelumnya, lelaki itu gagal membayar dividen dengan pelbagai alasan.

Akhirnya pada 11 April 1991, polis menyerbu pejabat Pak Man Telo di Taiping dan dia dibawa ke Ipoh, untuk membantu siasatan berhubung skim itu.

Pada masa sama, kemarahan pelabur memuncak dan ramai yang mencari Pak Man Telo di pejabat dan rumahnya untuk mendapatkan kembali wang mereka.

Pak Man Telo kemudian dikenakan tindakan buang daerah di Kampung Terong, Kuala Berang, Hulu Terengganu, Terengganu mengikut Ordinan Darurat.

Dia tidak lama di Terengganu apabila pada 17 Julai 1991, pegawai Bank Negara menahannya. Dia kemudian dibawa ke Mahkamah Sesyen Taiping untuk kali kedua pada 17 Julai atas dakwaan menerima deposit tanpa lesen daripada Kementerian Kewangan antara 1 Januari hingga 31 Oktober 1990.

Pada pagi hari pertama perbicaraan iaitu 2 Mac 1992, Pak Man Telo yang sebelum itu mengaku tidak bersalah, menukar pengakuannya kepada bersalah.

Dalam rayuannya, peguam bela tertuduh berkata, Pak Man Telo yang sudah berusia 65 tahun ketika itu menyesali perbuatannya, malah dia dan keluarga merana kerana dipulaukan masyarakat.

Akhirnya, dalam keadaan mahkamah yang penuh sesak, hakim menjatuhkan hukuman setahun penjara dan denda RM500,000 atau tambahan penjara setahun lagi jika beliau gagal membayar denda.

Pak Man Telo gagal membayar denda dan beliau terpaksa menjalani hukuman penjara selama dua tahun bermula tarikh dia ditahan iaitu 17 Julai 1991.

Pengasas skim cepat kaya dibuang daerah di Kuala Berang

KEMARAHAN orang ramai terhadap Pak Man Telo akibat gagal membayar dividen yang dijanjikan menyebabkan sekumpulan enam lelaki bertindak menculik anak lelakinya pada 1991.

Mereka mengurung anak lelaki terbabit di Hotel Tropicana, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur mulai jam 8.10 malam 28 Februari hingga jam 11.30 pagi, 5 Mac 1991 bertujuan memaksa Pak Man Telo mengembalikan wang RM426,767 yang mereka labur dalam skim itu.

Enam lelaki terbabit berjaya ditahan dan dihadapkan di mahkamah tetapi hanya empat daripada mereka yang disabitkan kesalahan. Keempat-empat lelaki itu hanya dikenakan hukuman ringan, iaitu denda RM100 atau tiga bulan penjara.

Hukuman ringan itu diberi kerana hakim bersimpati terhadap keempat-empat tertuduh yang kehilangan wang disebabkan Pak Man Telo.

Kemarahan mangsa Pak Man Telo terus membara dan ramai yang mengambil tindakan saman terhadapnya. Seramai 175 pelabur pada Mac 1991, memulakan tindakan saman terhadap lelaki itu bersama enam pihak lain iaitu isteri, dua anak lelaki dan dua anak perempuan serta menantu lelakinya bagi menghalang mereka mengeluar atau memindahkan wang RM1.4 juta yang didakwa milik pelabur berkenaan.

Ia diikuti 284 pelabur pada April 1991 menyaman Osman dan enam pihak lain bagi mendapatkan semula RM3.5 juta wang milik mereka. Sekumpulan pelabur lain seramai 180 orang pula mendakwa kerugian RM2.2 juta, juga mengambil tindakan sama.

Pak Man Telo mengakhiri tempoh hukuman penjara dua tahun pada 17 November 1992. Kira-kira jam 10.10 pagi selepas bersalam dengan pegawai Penjara Taiping, dia dibawa menaiki kenderaan pacuan empat roda polis untuk perjalanan ke Kuala Berang, Terengganu kerana dikenakan perintah buang daerah.

Selepas itu, kisah Pak Man Telo mula tenggelam dan orang ramai semakin melupakannya. Pak Man Telo pula menyepikan diri bersama isteri kedua dan seorang anak lelaki di Terengganu.

Dia menyara hidup dengan membaiki radio dan televisyen. Pada usia 70 tahun, Pak Man Telo meninggal dunia akibat sakit tua pada 22 Disember 1997 sekali gus berakhirlah riwayat seorang lelaki yang menjadi antara pelopor skim cepat kaya di negara ini.

Seperti juga pepatah 'harimau mati meninggalkan belang', nama Pak Man Telo terus disebut-sebut sehingga kini seolah-olah gelaran itu begitu sinonim dengan kegiatan skim cepat kaya di negara ini.

FAKTA
Skim Pak Man Telo

# Bermula di Taiping, Perak tetapi merebak ke negeri lain.

# Jumlah keahlian pelabur dianggarkan lebih 50,000 orang.

# Nilai pelaburan ahli mencecah RM99 juta.

# Polis pernah membekukan harta Pak Man Telo sebanyak RM70juta

# Pak Tam Telo didenda RM250,000 ketika kali pertama dihadap ke mahkamah.

# Dia dikenakan perintah buang daerah ke Hulu Terengganu akibat kegiatan itu.

# Pak Man Telo dihukum penjara setahun dan didenda RM500,000 pda kali kedua dihadapkan ke mahkamah. Dia gagal membayar denda dan terpaksa menjalani hukuman penjara dua tahun.