MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!
Kulaungkan dihati bersama sepotong surah doa selamat untuknya. Sudah 50 tahun Merdeka, namun hanya 27 tahun aku melaluinya. Pasti 50 tahun Merdeka itu lebih bermakna kepada orang tuaku yang hidupnya benar-benar menjangkau usia 50 tahun melaluinya. Jasa mereka hanya Tuhan yang membalasnya. Bagiku ini adalah sambutan 27 tahun aku hidup merdeka.Alhamdulillah.
Tapi kini aku tidak lagi berpijak di bumi merdeka. Tahun-tahun mendatang aku akan berpijak di bumi asing. Biarpun begitu aku tidak lagi melangkah tunduk dijajah, tapi mengatur langkah dalam hati yang membawa semangat jiwa merdeka.
Terima kasihku untuk negara tercinta kerana telah berjaya mendidik anak merdeka yang berani untuk terbang keluar dari sarang hidupnya. Mengembara ke segenap pelosok dunia. Cabaran untuk terbang telah di tempuh, cabaran seterusnya adalah untuk terus kekal terbang tinggi di langit luas.
Namun cabaran yang lebih mencabar nanti bukan lagi sekadar terbang tinggi di langit asing, tapi mencari jalan pulang ke sarang merdeka. Mampukah kita menemui jalan pulang jika terus hanyut dalam langit kesenangan, hanyut dalam udara kemewahan, hanyut dalam kealpaan. Masihkah kita sekadar pulang bersama kereta mewah berlesen AP, pulang sekadar sebuah kontena penuh dengan duit dan harta peribadi; "tv flat screen" 46 inci, permainan elektronik, baju dan kasut berjenama, barangan antik. telefon bimbit pelbagai fungsi, pinggan mangkuk dan banyak lagi.
Tapi mampukah kita pulang bersama 1001 kontena yang penuh dengan ILMU, IDEA, ILHAM dan ASPIRASI yang menjadi makanan pembakar semangat anak cucu negara dan perkakas yang mampu mengukuhkan sarang Merdeka.Mampukah kita pulang bersama bekal yang tidak basi ditelan zaman?
MENCARI RASA MERDEKA- Fadzlan Rizan Johani
Buat tanah airku yang merdeka,
Aku yang belum pernah merasai,
Keperihan dan kegigihan orang tuaku;
Dalam membina kemerdekaan ini.
Lahirku untuk mengisi kemerdekaan ini,
Mewarisi darah bangsaku,
Menyambung kisah perjuangan yang belum selesai;
Menanggung beban amanah negaraku.
Tanpa merasai penjajahan lalu,
Mampukah aku memahami erti kemerdekaan itu;
Tanpa berani berdiri diatas kaki sediri,
Mampukah aku merawat tempangku;
Tanpa pengalaman sebenar,
Mampukah aku menceritakan pedoman;
Tanpa terpahat parut luka,
Mampukah aku merasai sakitnya perjuangan;
Aku merantau jauh untuk memahami erti kemerdekaan,
Berjalan tanpa perisai kekebalanku,
Menghumban diriku ke masa pemerintah lalu;
Maka tercalarlah, luka diriku.
Semangat pejuang bangkit dari kejerihan ini,
Mencari ilmu mengubat luka,
Mengukir tongkat menampung tempang;
Melakar peta mencari arah.
Aku baru melangkah,
Ramuannya masih belum sedia,
Jalan pulang masih jauh lagi;
Berkat doa akan kembali.
Dari jauh kulaungkan MERDEKA! ,
Gempita laungannya berdentum dihati.
"Saya berharap rakyat berbilang kaum dapat hidup dan berbaik-baik antara satu sama lain. Letakkan taat setia kita kepada negara. Baik buruk pun, Malaysia tetap negara kita. Tidak ada tempat lagi yang kita hendak pergi kerana ini sajalah tanah air kita. Jadi kita harus bersatu padu. Berdoalah kepada Allah s.w.t. supaya dilimpah kurnia-Nya harapan kita untuk hidup dan berada dalam keadaan selamat selama-lamanya."Perdana Menteri pertama Malaysia,Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, petikan wawancara bertajuk ‘Kenangan Seorang Negarawan’ yang dirakam pada Ogos 1982